About Me

My photo
Subang Jaya, Selangor, Malaysia

Friday, March 6, 2009

Kekayaan dan Kejayaan

Apakah itu kekayaan? Semua orang rasanya mempunyai tanggapan dan pemikiran yang sama bila menyentuh bab kekayaan. Kekayaan itu biasanya bila mana kita mempunyai harta yang bertimbun, samada dalam bentuk aset seperti tanah, rumah yang besar dan mewah, mempunyai perniagaan sendiri yang berjaya dan berkembang pesat, berpendapatan besar melebihi 5 angka sebulan, kereta mewah serta mempunyai duit simpanan yang banyak dalam bank.

Kebanyakan dari kita akan berusaha bertungkus lumus, siang dan malam, terutama mereka yang bekerja sendiri untuk memperolehi pendapatan yang besar. Hatta dari kecil lagi bila mana kita sudah pandai berfikir dan tahu membezakan perkara buruk dan baik, kita sudah menanam azam dan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh kerana kebiasaannya dengan pelajaran yang tinggi kita akan mendapat pekerjaan yang baik dan seterusnya dapat menjana pendapatan yang lumayan.

Kejayaan itu pula pada kebiasaannya bersangkut paut dengan kekayaan. Kejayaan dalam hidup biasanya diukur dengan berapa banyak harta yang kita miliki. Semakin banyak harta yang kita ada, semakin kita dikatakan berjaya dalam hidup ini.

Tapi adakah kita sedar bahawa dengan kekayaan dan kejayaan material inilah yang kebiasannya menjauhkan kita dari pada matlamat kekayaan dan kejayaan hidup yang sebenar. Apa guna harta yang bertimbun jika diri kita penuh dengan sifat bakhil, tamak, haloba, dengki dan khianat. Kita tidak ingin melihat orang lain terutama sekali saudara seagama kita memperolehi kekayaan seperti kita. Malahan kita merasakan apa yang kita ada masih tidak mencukupi dan sentiasa memikirkan cara untuk menambahnya. Yang paling sedihnya, jika kita tidak pernah atau pun kurang bersyukur dengan apa yang kita ada, dan lebih malang tidak pernah ingin berkongsi kekayaan kita dengan mereka yang kurang bernasib baik. Sepatutnya kekayaan dan kejayaan yang kita miliki boleh menjadi sumber untuk membantu mereka yang benar2 memerlukan.

Alangkah bagusnya jika harta serta kejayaan material yang kita miliki itu dapat membantu kita untuk mencapai kekayaan dan kejayaan yang hakiki. Apa yang kita miliki sekurang2 nya dapat meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan, dengan menyumbang kepada rumah kebajikan, membantu fakir miskin dan lain-lain lagi. Dengan menyumbang secara terus, secara tidak langsung akan timbul keinsafan dalam diri kita. Kita juga akan mensyukuri akan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita. Segala apa yang kita miliki itu hanyalah pinjaman semata-mata dan bila kita kembali menemuiNya, kita hanyalah pulang dengan membawa kain putih yang membalut diri dan amalan kita yang tidak seberapa.

Jika kita terlalu mengejar kekayaan dan kejayaan dunia, semakin jauh 'dunia' akan melarikan diri dari kita, dan yang lebih ditakuti, akhirat juga semakin menjauhi kita. Tetapi jika kita mengejar 'akhirat' yang kita kejar, InsyaAllah akhirat kita akan dapati dan dunia akan datang 'tunduk' kepada kita, kerana pada ketika itu 'dunia' bukan lagi menjadi agenda utama kita. Maka ketika itulah baru kita akan memperolehi kekayaan dan kejayaan yang sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment