About Me

My photo
Subang Jaya, Selangor, Malaysia

Monday, March 16, 2009

Kesilapan atau Takdir? Suatu Pengajaran

Apa yang saya ingin paparkan kali ini adalah tentang kisah saya sendiri. Hanya bertujuan ingin berkongsi pengalaman pahit dalam hidup saya yang mungkin akan menjadi pengajaran yang cukup berharga untuk anda semua.

Saya dan isteri telah berkahwin pada Jun 2003 dan pada tahun Feb 2004 kami telah dikurnia seorang anak perempuan yang sangat comel. Setahun kemudiannya, kami dianugerahkan lagi dengan seorang lagi anak perempuan, comel seperti kakaknya juga. Disinilah bermula kisah yang saya ingin coretkan disini.

Alhamdulillah, anak kedua saya lahir cukup sifat dan sihat. Masuk minggu kedua, anak saya demam, saya dan isteri telah membawa bayi kecil kami itu ke klinik swasta (tempat isteri saya bersalin) untuk diperiksa, setelah doktor membuat pemeriksaan dan mengambil sampel darah, kami diberitahu bahawa si comel kami itu mengidap demam kuning (jaundice) yang agak serius. Pada masa itu yang hanya saya fikirkan adalah duit simpanan kami yang tak seberapa, kesian dengan si kecil kami sebab badannya yang kecil akan dicucuk untuk diambil darah dan diperiksa entah berapa kali (alangkah bodoh dan dangkalnya fikiran saya waktu itu), saya hanya terfikir ingin segera membawa sikecil kami pulang dan berubat secara tradisional.

Setelah adik (panggilan kami untuk nya) berusia 3 bulan, saya dapati perkembangan fizikalnya agak lambat disamping kerap menangis. Saya mengatakan agak lambat kerana saya telah belajar dari kakak (anak sulung kami), saya telah memerhati dan mengikuti perkembangan kakak setiap hari. Yang paling saya hairankan, adik masih menggenggam ibu jarinya seperti bayi yang berumur < sebulan. Setelah itu saya telah membawa adik membuat pemeriksaan rapi di HUKM. Apabila doktor pakar memanggil kami masuk kebiliknya, hati saya berasa tidak tenang seolah2 tahu sesuatu yang buruk telah menimpa adik. Setelah doktor memberi penerangan dengan panjang lebar, air mata lelaki saya berguguran tanpa henti dihadapan doktor kerana saya merassa amat bersalah, dan merasakan semua yang terjadi adalah dari kesilapan dan kebodohan saya sendiri. Ya, adik telah disahkan mengalami kerosakan saraf yang berhubung keotak yang akan menjadikannya seorang 'anak istimewa'.

Ya Allah, kau ampunkanlah dosa dan kesilapan yang telah aku lakukan hingga adik menjadi mangsa. sekarang ini adik telah pun berusia 4 tahun (11 March). Adik! Papa memohon berjuta kemaafan kerana disebabkan kelalaian papa, adik yang menjadi mangsa. Papa tahu walau berjuta penyesalan yang papa lafazkan, semuanya telah berlaku. Kakak, walaupun baru berumur 5 tahun, sangat menyayangi adik, malah tidak pernah memukul atau mengacau kerana cemburukan adik sejak adik bayi lagi, seolah-olah faham akan penyakit adik.

Yang hairannya, masa saya membuat keputusan untuk membawa pulang adik setalah doktor dapati dia mengidap demam kuning, Isteri saya hanya mengikut keputusan saya tanpa ada sedikit pun bantahan atau cadangan lain darinya. Bukannya tak boleh dibawa adik pergi kehospital kerajaan jika kos yang menjadi masalahnya, tapi, entahlah...Mungkin itulah yang dikatakan setiap kejadian itu adalah urusan dan takdir dariNya, dan setiap yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya, malah saya redha dengan semuanya. Tapi walaubagaimanapun rasa bersalah dan penyesalan itu akan sentiasa menghambat saya saban waktu apatah lagi bila melihat keadaan adik yang hanya terbaring, belum boleh duduk apatah lagi untuk berdiri sendiri.

Nasihat saya untuk semua, janganlah bertangguh untuk membawa anak anda membuat pemeriksaan doktor jika mereka sakit, wang dan harta boleh dicari, tapi kesihatan anak anda tiada harganya. Ingatlah kata pepatah orang tua-tua; sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

No comments:

Post a Comment